TOKOH PEJUANG KEMERDEKAAN

DATO' ONN BIN JAAFAR 

   

 
      Dato' Onn Bin Jaafar adalah salah seorang tokoh yang sangat masyhur dalam sejarah perjuangan kemerdekaan tanah air kita.      

      Beliau dilahirkan pada tahun 1894. Beliau adalah anak kesayangan ayahandanya Dato' Jaafar bin Mohammad, Menteri Besar Johor yang pertama. Ibunya Rogayah Hanun berketurunan Turki.

      Sebagai anak kacukan Turki-Melayu, Dato' Onn sejak kecil lagi mempunyai rupa paras seperti orang Inggeris. Sehinggakan ketika Sultan Ibrahim, Sultan Johor pada ketika itu telah mengambilnya sebagai anak angkat sultan. Oleh yang demikian, beliau tinggal dalam istana bersama putera-putera sultan yang sebaya dengannya. Ketika berusia lapan tahun, Dato' Onn telah dihantar ke England untuk belajar bersama putera-putera Sultan Ibrahim, iaitu Tengku Ismail, Tengku Abu Bakar, dan Tengku Ahmad.

      Setelah berada di England beberapa tahun, Dato' Onn kembali ke tanah air dan meneruskan alam persekolahannya di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak yang tersohor itu. Ibunya Rogayah Hanun meninggal dunia pada tahun 1902, ketika Dato' Onn berusia lapan tahun. Ayahandanya pula meninggal dunia pada tahun 1919, ketika Dato' Onn berusia 25 tahun.

      Dato' Onn adalah salah seorang penggerak penubuhan UMNO pada tahun 1946 dan merupakan Yang Dipertua pertamanya, serta pengasas kepada Kemerdekaan Negara, walaupun bukan beliau yang melaungkan "MERDEKA" di Stadium Merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957.

      Dato' Onn telah menubuhkan Persatuan Melayu Johor untuk membantah cadangan penubuhan Malayan Union pada 1 Januari 1946. Beliau juga telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyatupadukan orang-orang Melayu dalam sebuah parti politik, iaitu UMNO, bagi menentang cadangan penubuhan Malayan Union yang dirancangkan oleh Inggeris.

      Sejarah telah menyebut, Dato' Onn keluar dari UMNO, lalu menubuhkan Parti Negara dan menjadi Presidennya kerana kecewa dan rasa terhina apabila cadangannya hendak membuka ruang keahlian UMNO kepada semua bangsa telah ditolak. Dato' Onn telah menunjukkan prestasi yang cemerlang ketika beliau bergiat dalam politik tanah air. Ketika itu, beliau telah berjaya menghalang Raja-Raja Melayu daripada mengiktiraf penubuhan Malayan Union pada tahun 1946. Sehubungan dengan itu, ramailah pemimpin Melayu yang mengikut jejak langkah Dato' Onn meninggalkan UMNO dan bersama menubuhkan Parti Negara. Namun, usaha beliau gagal kerana parti kurang mendapat sokongan daripada orang ramai.

      Dato' Onn, Menteri Besar Johor ke -7, telah meninggal dunia pada tahun 1964. Jasa beliau tetap dikenang dalam sejarah tanah air kita. Beliau merupakan pejuang kemerdekaan yang sangat besar jasanya, pengasas UMNO, dan tokoh yang berjaya menggagalkan Malayan Union yang dirancang oleh Inggeris.
 

 

Click here to start typing your text

Make a Free Website with Yola.