
Sepak raga boleh dianggap sebagai salah sejenis permainan tradisional yang asli milik bangsa Melayu. Hal ini demikian kerana bola yang digunakan dalam permainan ini diperbuat daripada rotan. Rotan merupakan sejenis tumbuhan yang hanya terdapat di Asia Tenggara.
Permainan ini dimainkan oleh golongan lelaki secara kumpulan dalam bentuk bulatan. Mana-mana ahli dalam kumpulan itu akan menyepak bola tersebut secara melambung tinggi dan akan disepak kembali oleh ahli yang lain pula. Demikianlah dilakukan bergilir-gilir agar bola itu tidak terjatuh ke tanah.
Permainan ini boleh juga dimainkan untuk perlawanan. Sesiapa yang gagal menyepak kembali bola yang dihantarkan kepadanya akan dikira tewas. Orang yang tewas harus keluar daripada kumpulan. Akhirnya akan tinggal dua orang pemain untuk ditentukan juaranya.
Pemainan ini masih popular sehingga sekarang, terutama di kalangan masyarakat desa. Namun demikian, selain masih dimainkan dalam bentuk kumpulan bulatan, permainan ini pada masa kini telah turut berubah bentuk permainannya. Bentuk baru ini dikenali sebagai sepak takraw. Permainan sepak takraw ini sudah diterima menjadi salah satu acara popular dalam pertandingan sukan peringkat Asia Tenggara. Dalam permainan ini, setiap pasukan terdiri daripada tiga orang pemain. Dalam setiap perlawanan, dua pasukan akan berentap untuk memungut mata kemenangan. Masing-masing akan cuba menyepak atau menanduk bola raga supaya melepasi jaring di tengah-tengah gelanggang untuk menewaskan pasukan lawan. |